OFFICE OF SECURITY MANAGEMENT (OSeM)

OFFICE OF SECURITY MANAGEMENT (OSeM)

IIUM Auxiliary Police

IIUM Auxiliary Police


Polis Bantuan

PENUBUHAN

Penubuhan Polis Bantuan adalah mengikut Bahagian IX, Akta Polis 1976 (Seksyen 47 - Seksyen 50) dan Peraturan-peraturan (Polis Bantuan) Polis 1970 (P.U. (A) 461 bertarikh 21 Disember 1970).

OBJEKTIF

Objektif Penubuhan Polis Bantuan adalah seperti berikut:

· Memberi khidmat Polis ke kawasan-kawasan di mana liputan Polis tidak berkesan

· Membolehkan pengawal-pengawal keselamatan yang bekerja di Jabatan-jabatan kerajaan, Badan-badan Berkanun dan Sektor Swasta mempunyai kuasa-kuasa Polis sera membolehkan mereka membawa senjatapi semasa melaksanakan tugas-tugas di dalam kawasan yang ditentukan.

· Sebagai unit sokongan/bantuan kepada PDRM dalam sesuatu situasi yang diperlukan.

KUASA MELANTIK

Pegawai Kanan Polis Bantuan dari pangkat kehormat Inspektor hingga ke pangkat Superintendan adalah dilantik oleh Ketua Polis Negara dengan persetujuan Menteri Dalam Negeri:

Pegawai Rendah Polis Bantuan dari pangkat kehormat Koperal hingga ke Sub Inspektor atau Konstabel Polis Bantuan adalah dilantik oleh Pegawai Pemerintah yang mana terdiri dari Pesuruhjaya atau Ketua Polis Kontinjen berkenaan, atau mana-mana pegawai polis yang diberi kuasa bagi pihaknya.

Seseorang pegawai atau anggota Polis Bantuan hendaklah disifatkan berkhidmat dari bulan ke bulan, walau bagaimanapun tempoh perkhidmatan seseorang pegawai atau anggota Polis Bantuan itu adalah tertakluk kepada sebarang perjanjian yang dibuat dengan pihaknya.

 

PERMOHONAN KUASA-KUASA POLIS BANTUAN

Jabatan-jabatan Kerajaan, Badan-badan Berkanun atau Sektor Swasta yang ingin mendapat kuasa Polis Bantuan untuk pekerja-pekerjanya yang berkhidmat dalam kawasan-kawasan tertentu, akan mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Negara melalui Pesuruhjaya/Ketua Polis yang berkenaan. Pesuruhjaya/Ketua Polis pula kemudiannya akan mengemukakan permohonan tersebut bersama-sama dengan sokongan kepada Ketua Polis Negra (Cawangan Pembantu).

Cawangan Pembantu akan membuat tinjauan khas ke kawasan pemohon untuk mengenal pasti keperluan sebenar kuasa polis yang dipohon sekiranya diperlukan, seterusnya mengemukakan laporan dan permohonan tersebut kepada Ketua Polis Negara atau mana-mana Pegawai Kanan Polis yang diberi kuasa olehnya untuk meluluskan atau memberi bantahan bagi permohonan tersebut.

KUASA DAN TUGAS

Seseorang anggota Polis Bantuan apabila menjalankan tugas-tugas polis dalam kawasan-kawasan yang ditetapkan hendaklah mempunyai kuasa yang sama dan hendaklah tertakluk kepada pihak berkuasa yang sama seperti seseorang pegawai polis yang setaraf pangkatnya.

Peranan utama ialah menjaga harta benda milik majikan dan mencegah jenayah dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan.

Polis Bantuan Semasa melaksanakan tugas bersama-sama pegawai atau anggota polis biasa, pegawai atau anggota Polis Bantuan hendaklah disifatkan lebih rendah dari polis biasa yang sama pangkatnya. Anggota Polis Bantuan adalah ditugaskan dalam kawasan majikannya bagi tugas-tugas polis seperti berikut:-

· Rondaan, bit dan kawalan statik

· Kawalan orang ramai, memeriksa orang dan kenderaan

· Melindungi dan mengiring harta majikan

· Mencegah kesalahan-kesalahan jenayah

· Mengesan dan menangkap pesalah-pesalah

LATIHAN

Pasukan Polis Diraja Malaysia adalah bertanggungjawab memberi latihan polis terhadap anggota-anggota Polis Bantuan. Cawangan Latihan Kontinjen adalah dikehendaki menyediakan segala latihan-latihan asas dan sebarang latihan selanjutnya untuk anggota-anggota Polis Bantuan. Walau bagaimanapun, perbelanjaan untuk tempat tinggal, makanan, pengangkutan, peluru dan peralatan-peralatan lain yang diperlukan semasa latihan tersebut hendaklah ditanggung oleh majikan masing-masing.

Silibus latihan akan disediakan oleh Cawangan Latihan Bukit Aman. Perkara-perkara yang diajar adalah berfokus kepada pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya diketahui oleh pegawai Polis Bantuan berkenaan. Sebagai tambahan, kurikulum latihan yang mempunyai kaitan rapat dengan tugas jabatan-jabatan, Badan-badan atau Syarikat-syarikat berkenaan atau undang-undang yang dikuatkuasakan oleh majikan tersebut hendaklah juga diberi keutamaan.

SENJATAPI

Semua pegawai dan konstabel Polis Bantuan yang telah dilantik secara sah, boleh membawa dan menggunakan senjatapi yang dilesenkan di atas nama majikannya semasa menjalankan tugas-tugas rasmi yang diarahkan oleh majikannya dalam kawasan yang ditetapkan.

PAKAIAN SERAGAM DAN LENCANA POLIS BANTUAN

1. Baju

Baju kemeja potongan Polis biasa berlengan pendek atau berlengan panjang sebagai ‘pilihan’. Pegawai berpangkat Sarjan Mejar ke atas boleh memakai ‘bush jacket’ sebagai pilihan.

2. Seluar

Seluar Panjang

3. Topi/Songkok/Beret

Tiap-tiap pertubuhan diberi kebebasan memilih satu pakaian menutup kepala samada topi (cap), songkok atau beret.

4. Lencana Topi

Lencana topi Polis Diraja Malaysia hendaklah dipakai dipakaian penutup kepala yang dipilih.

5. Lencana Bahu

Lencana Bahu bertulis ‘Polis Bantuan’ dipakai dipangkal lidah bahu baju. Bagi Pegawai Kanan dikecualikan.

6. Lambang Majikan

Lambang majikan ditampal dilengan kiri baju. Lambang tersebut mestilah berukuran 7cm X 9cm dan bertulis POLIS BANTUAN dibahagian atasnya.

7. Tali pinggang

Tali pinggang hitam (web belt) atau tali pinggang kulit hitam. Pegawai Kanan boleh memakai tali pinggang ‘nylon’ sebagai pilihan.

8. Butang

Butang seperti mana yang dikeluarkan untuk kegunaan pegawai-pegawai dan anggota polis biasa.

9. Kasut

Kasut kulit hitam atau kasut kanvas hitam atau kasut boot canvas hitam.

10. Rantai Wisel

Rantai wisel sebagaimana polis biasa.

11. Stokin

Stokin berwarna hitam.

12. Wisel

Sama seperti bentuk wisel Polis biasa.

13. Apulet

Pegawai Kanan memakai apulet berwarna hitam.

14. Lencana Pangkat

Struktur dan bentuk hendaklah sama dengan Polis biasa. Misalnya Koperal ada dua calit, Inspektor dua paku di atas apulet, ASP tiga paku, DSP satu Mahkota dan Supt, Satu Mahkota dengan satu paku.

15. Lencana

Nombor Polis Bantuan dan tanda nama hendaklah dipakai bagi Anggota Pangkat Rendah dan tanda nama bagi Pegawai Kanan untuk pengenalan seperti mana Polis biasa.

16. Warna baju dan Seluar

Warna baju dan seluar yang telah ditetapkan bagi unit-unit Polis bantuan adalah seperti mana Polis biasa.


KUASA POLIS BANTUAN

Kanun Keseksaan (Akta 574) – Suatu akta yang berhubung dengan kesalahan jenayah, definisi kesalahan jenayah, jenis dan tempoh hukuman yang dikenakan. 

Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) – Suatu akta berhubung dengan peraturan-peraturan dan tatacara berkaitan jenayah, meliputi tangkapan, penyiasatan, prosedur mahkamah dan lain-lain peraturan yang dikuatkuasakan berhubungkait dengan prosedur jenayah. 

Akta Polis 1967 (Akta 344) – Suatu akta berhubung dengan organisasi, disiplin, kuasa-kuasa dan tugas Polis DiRaja Malaysia dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya. 

Akta keterangan 1950 (Akta 56) – Suatu akta bagi menentukan proses pelaksanaan dan pengumpulan keterangan. 

Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO/PTKPN) – A 501 (Penubuhan Polis Bantuan) 

Undang-undang Am – Undang-undang yang termaktub dan digunapakai dalam persekutuan. 

Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) – Suatu akta bagi membuat peruntukan mengenai pengawalseliaan kenderaan-kenderaan motor dan lalu lintas.