Berita
![UIAM dan masjid Al-Syakirin jalin kerjasama tubuhkan Akademi Al-Syakirin UIAM dan masjid Al-Syakirin jalin kerjasama tubuhkan Akademi Al-Syakirin](https://a.iium.edu.my/imagecache/medium/45329/Screenshot_54.jpg)
UIAM dan masjid Al-Syakirin jalin kerjasama tubuhkan Akademi Al-Syakirin
Tarikh : 04 September 2019
Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly
Kategori : News
Tweet This
![](http://www.iium.edu.my/media/45328/Screenshot_54.jpg)
GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjalinkan kerjasama akademik dengan Masjid Al-Syakirin yang terletak di Batu 6, Gombak.
Kerjasama yang dijalinkan ini membawa kepada pembukaan Akademi Al-Syakirin yang dilancarkan secara rasminya oleh Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak bersama-sama dengan Nazir Masjid Al-Syakirin, Prof Madya Dr Saupi Man.
Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UIAM dan Masjid Al-Syakirin untuk jalin kerjasama di antara Akademi Al-Syakirin.
![](http://www.iium.edu.my/media/45326/Screenshot_52.jpg)
Wujudnya Akademi Al-Syakirin dengan kerjasama UIAM ini adalah untuk memberikan peluang kepada orang awam mendalami ilmu-ilmu melalui modul-modul terbaik yang dikawal selia oleh pihak UIAM.
Kerjasama ini melibatkan tiga Kulliyah di UIAM iaitu Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS) serta Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS).
Bagi kursus yang di bawah seliaan AIKOL, Akademi tersebut menawarkan subjek-subjek seperti Pengenalan Sistem Perundangan Islam yang merangkumi keluarga Islam, Harta Pusaka Islam, Waqaf dan Wasiat, Muamalat Islam, Jenayah Islam dan Qawaid Fiqhiyyah serta satu subjek khas berkaitan Sistem Undang-undang Malaysia yang akan menyentuh berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia.
Untuk subjek yang ditawarkan melalui kerjasama dengan KIRKHS pula merangkumi subjek seperti Pengenalan Fiqh Islami, Usul al-Fiqh, Fiqh Halal dan Haram, Fiqh Ibadah dan Maqasid al-Shari’ah.
Sementara itu, bagi kerjasama dengan KENMS pula, subjek yang ditawarkan ialah seperti Perancangan Kewangan Islam untuk meningkatkan celik kewangan mengurus deposit, pembiayaan, pelaburan, takaful dan pengagihan.
![](http://www.iium.edu.my/media/45327/Screenshot_53.jpg)
Menurut Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli yang juga Penaung Akademi Al-Syakirin ketika ditemui berkata, dengan adanya kerjasama ini dapat memasyarakatkan ilmu yang diajar di UIAM kepada ahli-ahli kariah masjid tersebut.
"Kerjasama ini menjadi salah satu penanda aras kepada Universiti kerana pihak Akademi Al-Syakirin memberikan kepercayaan kepada pihak UIAM untuk menyediakan modul-modul yang terbaik daripada tiga kulliyyah tersebut untuk ahli kariah dan pelajar akademi Al-Syakirin ini," katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut adalah wakil-wakil dari UIAM dan Masjid Al-Syakirin serta Akademi Al-Syakirin antaranya Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti) Prof Madya Dr Zulkifli Hasan, Prof Madya Dr Dzuljastri Abdul Razak, Dr Syed Omar Syed Agil, Tarmize Mohamad Ansor dan ahli-ahli kariah masjid tersebut.