Berita

Berita

UIAM beri diskaun yuran hingga 50 peratus sejak tahun lalu

UIAM beri diskaun yuran hingga 50 peratus sejak tahun lalu

Tarikh : 05 February 2021

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memaklumkan sudah menawarkan pengurangan kadar yuran perkhidmatan bagi kemudahan tidak digunakan pelajar ekoran pandemik COVID-19, sejak Februari tahun lalu.

Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata pengurangan itu membabitkan kemudahan asrama, pengangkutan, makmal, perpustakaan dan perkhidmatan kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, yuran pengajian masih dikenakan kerana proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap berjalan seperti biasa, walaupun secara dalam talian.

Beliau berkata, kadar yuran pengajian bagi Semester 1 sesi 2021 yang dijangka bermula antara September atau Oktober depan bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19.

Katanya, UIAM turut menyalurkan beberapa bantuan lain kepada pelajar sepanjang pandemik COVID-19, termasuk bantuan makanan, kewangan, pelan data, peranti, logistik dan Skim Pelajar Bekerja.

"UIAM memberikan pengurangan yuran perkhidmatan sehingga 40 peratus kepada semua pelajar, manakala hingga 50 peratus bagi yuran asrama, berdasarkan situasi dan kategori pelajar.

"Pengurangan yuran perkhidmatan dan asrama diberikan kepada pelajar pada Semester 2 dan 3 sesi 2019/2020 serta Semester 1 sesi 2020/2021.

"UIAM juga bercadang membuat pengurangan sebanyak 40 peratus bagi yuran program orientasi (Minggu Taaruf), memandangkan ia akan dijalankan secara dalam talian bagi kemasukan pelajar baharu Semester 1 sesi 2021/2022," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan, pengurusan Universiti Malaya (UM) dijangka membincangkan isu berkaitan pengurangan yuran pengajian dalam mesyuarat Selasa depan.

Ia menyusuli bantuan Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada pelajarnya sejak tahun lalu, menerusi Pakej UPM Prihatin, termasuk pengecualian bayaran penginapan bagi Semester 1 2020/2021 sesi Oktober 2020 hingga Februari 2021 membabitkan kos keseluruhan bernilai RM6.65 juta.

UPM turut mengurangkan yuran kolegiat dan perkhidmatan sebanyak 15 peratus kepada semua pelajar, membabitkan kos keseluruhan bernilai RM1.31 juta.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula menjelaskan sudah memulangkan sejumlah yuran pelajarnya sejak tahun lalu, bagi meringankan beban mereka.

Isnin lalu, UKM mengambil langkah membuat pengurangan yuran pendaftaran kepada pelajar baharu semester pertama sesi akademik 2020/2021 daripada RM1,200 kepada RM850.

Source:UIAM beri diskaun yuran hingga 50 peratus sejak tahun lalu (bharian.com.my)