Berita

Berita

IIUM Pagoh : BULAN CITRA BAHASA 2.0 MARTABAT BAHASA MELAYU DAN TULISAN JAWI

IIUM Pagoh : BULAN CITRA BAHASA 2.0 MARTABAT BAHASA MELAYU DAN TULISAN JAWI

Tarikh : 16 December 2019

Dilaporkan Oleh : Mohamad Hazim Bin Selamat

Kategori : News


Share

Program Bulan Citra Bahasa 2.0 (BCB 2.0) yang bermula pada 9 November yang lalu telah pun melabuhkan tirainya pada 30 November 2019. Program anjuran Anjung Melayu di bawah Kelab Bahasa Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan (KLM) ini telah berlangsung selama sebulan dan diserikan lagi dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti yang telah diadakan di Mahallah Zaid bin Harithah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, Muar, Johor. Penasihat Program bagi BCB 2.0 ini ialah Encik Suhaizi bin Suhaimi, manakala Pengarah Program dan Penolong Pengarah Program BCB 2.0 ialah saudara Umar Mustaqim bin Md Heshamudin dan saudari Lisa binti Licson.

Program yang bertemakan budaya Melayu dan tulisan Jawi ini bertujuan untuk memupuk perasaan cinta dan meningkatkan kesedaran warga KLM terhadap kepentingan memelihara Bahasa dan budaya Melayu serta tulisan Jawi yang semakin dipandang enteng oleh masyarakat Melayu itu sendiri. Selain itu, program ini turut mendidik warga KLM tentang kaedah untuk menghasilkan pantun, iaitu satu bentuk puisi yang sinonim dengan budaya Melayu dan seterusnya menggalakkan warga KLM untuk lebih aktif dalam menyertai pertandingan-pertandingan yang kaya dengan kebudayaan Melayu.

Pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan ialah Pertandingan Insta Pantun/Puisi, Main Tradisi, Futsal Kain Pelikat, Imlak Jawi, Coret Jawi, Seni Khat dan Pesta Pantun. Program ini dimulakan dengan aktiviti Bengkel Pantun pada 9 November bagi memberi pendedahan mengenai pertandingan berbalas pantun kepada peserta-peserta yang menyertai Pertandingan Pesta Pantun. Bengkel ini diisi dengan slot ‘Pengenalan kepada Pantun’ yang telah disampaikan oleh seorang pemantun yang handal, iaitu Encik Muhammad Faizuddin bin Hashim, pensyarah Bahasa Melayu di Pusat Asasi UIAM Gambang, Pahang. Manakala, slot kedua ialah slot perkongsian yang disampaikan oleh tiga orang pemantun UIAM Pagoh, iaitu saudara Muhammad Nor Sahfiq bin Amran, saudara Muhammad Khalil bin Khirruddin dan saudari Nor Hapiza binti Adnan.

Ahli jawatankuasa program amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program BCB 2.0 ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua peserta bengkel dan pertandingan kerana sudi menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan sebagai tanda sokongan. Terima kasih juga kepada pensyarah Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, merangkap Penasihat bagi Kelab Bahasa, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, iaitu Encik Ismail bin Jaafar yang sudi menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Bulan Citra Bahasa 2.0. Semoga program sebegini akan diteruskan dan mendapat sambutan yang lebih meriah daripada warga KLM pada masa hadapan.



Gambar 1: Sesi bergambar peserta Bengkel Pantun bersama penceramah jemputan dan Penasihat Program. Dari kiri: saudari Nor Hapiza binti Adnan, saudara Muhammad Khalil bin Khirruddin, Encik Muhammad Faizuddin bin Hashim, Encik Suhaizi bin Suhaimi dan saudara Muhammad Nor Sahfiq bin Amran.




Gambar 2: Pertandingan Congkak sesi petang bagi pertandingan Main Tradisi sedang berlangsung.


Gambar 3: Pertandingan Batu Seremban bagi pertandingan Main Tradisi sedang berlangsung.


Gambar 4: Pertandingan Ceper bagi pertandingan Main Tradisi sedang berlangsung.



Gambar 5: Pertandingan Karom bagi pertandingan Main Tradisi sedang berlangsung.


Gambar 6: Pertandingan Capteh bagi pertandingan Main Tradisi sedang berlangsung.



Gambar 7: Pertandingan Futsal Kain Pelikat yang sengit telah dianjurkan di parkir Blok 4, Mahallah Zaid Bin Harithah.


Gambar 8: Pertandingan Seni Khat dan Coret Jawi telah dianjurkan secara serentak di Bilik Aktiviti Pelajar 2, Mahallah Zaid Bin Harithah.



Gambar 9: Pertandingan Imlak Jawi yang sengit berlangsung di Kafe Mahallah Zaid Bin Harithah.


Gambar 10: Pemantun 1 (Saudara Muhammad Shafiq Aziq bin Jauhari) dari pasukan Gemersik Pawana sedang menjual pantun kepada pasukan lawan.



Gambar 11: Pemantun B (Saudari Nazihah binti Abd Rahim) dari pasukan Gadis Melayu sedang menjual pantun kepada pasukan lawan.



Gambar 12: Sesi bergambar ahli jawatankuasa program Bulan Citra Bahasa 2.0 ketika Majlis Perasmian Penutup Bulan Citra Bahasa 2.0 di Kafe Mahallah Zaid Bin Harithah.