Berita

Berita

Majlis Konvokesyen UIAM ke-34 meraikan 5,413 graduan termasuk penyampaian 7 Anugerah Khas

Majlis Konvokesyen UIAM ke-34 meraikan 5,413 graduan termasuk penyampaian 7 Anugerah Khas

Tarikh : 07 November 2018

Dilaporkan Oleh : Roslan Bin Rusly

Kategori : News


Share


ROSLAN ROSLY, UIAM
7 November 2018

GOMBAK - Seramai 5,413 graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) yang ke-34. Majlis ini
dijadualkan berlangsung sebanyak tujuh sidang selama empat hari dari 10
hingga 13 November 2018 di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan IIUM di Kampus
Gombak.

Pada tahun ini seramai 4,449 orang graduan akan menerima skrol di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seramai 964 orang graduan di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang pengajian dari 16 Kulliyyah (Fakulti).

Menteri Pendidikan Malaysia merangkap Presiden IIUM, YB Dr. Maszlee Malik akan membuka sidang pertama majlis konvokesyen dan menyampaikan skrol kepada para graduan.

Pada tahun ini IIUM memperkenalkan satu anugerah khas yang akan disampaikan kepada sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO). Anugerah tersebut ialah Anugerah Merit Ibnu Khaldun 2018.

Anugerah ini diberikan kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebagai penghargaan kepada sumbangan dan CAP kepada masyarakat Malaysia melalui menjalankan kempen kesedaran kepenggunaan dalam pelbagai aspek seperti kualiti makanan, barangan serta produk kewangan dan hak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat dan bersih.

CAP telah membantu pengguna-pengguna dalam menyelesaikan permasalahan yang diadukan sejak penubuhannya pada tahun 1970.

Pengerusi CAP, Haji SM Mohamed Idris akan hadir dan menerima anugerah tersebut bagi pihak organisasi tersebut.

Dalam majlis yang sama, anugerah kecemerlangan akan turut disampaikan kepada graduan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum. Antaranya, ialah Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah BUDI dan Anugerah Rektor.

Tahun ini juga sebanyak tiga anugerah khas untuk graduan orang kelainan upaya (OKU) yang cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum akan disampaikan. Tujuan anugerah ini adalah untuk menyahut saranan kerajaan untuk memastikan kegiatan di universiti adalah inklusif supaya dapat menggalakkan pelajar yang berlainan upaya mengasah bakat mereka.

Kejayaan pelajar kurang upaya ini juga boleh dijadikan motivasi kepada pelajar-pelajar lain. Antara penerima anugerah khas tersebut ialah graduan jurusan Undang-undang, Atiqah Othman yang mengalami masalah tulang akan menerima Anugerah Khas Ibnu Ummi Maktum khusus untuk yang berjaya dalam bidang akademik.

Nur Amalina Kamsani, juga graduan jurusan Undang-undang akan menerima Anugerah Khas Amru Ibn Al-Jamuh untuk mereka yang berjaya dalam bidang ko-kurikulum.

Manakala Anugerah Khas Pencapaian Luar Biasa ko-kurikulum akan diterima oleh Azzrulkhan Hasrullah Matsah, graduan jurusan Sains Kemanusiaan. Beliau adalah seorang pendaki kategori OKU yang telah berjaya sampai ke Kem Induk Everest pada Mei lalu.

Pengenalan anugerah-anugerah baru ini adalah innovasi yang diperkenalkan oleh Rektor UIAM yang Keenam, Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang baru mangambil jawatan pada bulan Julai lalu baru-baru ini.

Tan Sri Dzulkifli ingin membawa perubahan dalam UIAM supaya tidak
menjadi menara gading yang disegani dan tidak mampu berinteraksi dengan
masyarakat. Beliau mahu mewujudkan perhubungan bukan sahaja dengan
industri dan insitusi pendidikan tinggi yang lain tetapi juga dengan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO mempunyai pengalaman dalam membantu masyarakat dan mampu mewujudkan kesedaran tentang hak-hak rakyat terutamanya untuk hidup dalam persekitaran yang lestari. Pelajar dan pensyarah perlu memainkan peranan penting dalam mengkaji innovasi yang mampu membantu pembangunan sosio-ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Peranan NGO dalam menyediakan maklumat berkaitan kehendak dan keperluan masyarakat amat penting bukan sahaja untuk pelajar, tetapi juga untuk para pensyarah yang boleh menggunakan maklumat yang dikumpulkan oleh NGO dari lapangan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan permasalahan dalam masyarakat untuk membina negara yang maju.

Dalam meraikan kejayaan para graduan dan ibu bapa yang hadir, Pusat Pembangunan Keusahawanan (EDC) IIUM menganjurkan Pesta Konvo yang dipanggil “Stall and Exhibition 2018” (STANEX 18) yang akan berlangsung dari 9 hingga 15 November. STANEX 2018 dianjurkan dengan tujuan mewujudkan peluang kepada para pelajar mengasah bakat dalam bidang keusahawanan dan mempelajari selok-belok dunia perniagaan supaya dapat manfaatkan ilmu ini apabila mereka habis belajar.

Aktiviti yang akan diadakan sepanjang enam hari penganjuran STANEX 18 ini adalah pelbagai jenis, antaranya adalah jualan makanan, cenderahati, pakaian, pameran, forum perdana dan persembahan artis seperti kumpulan nasyid dan lain-lain kegiatan yang disusun oleh para pelajar untuk menonjol bakat mereka.

Ibu bapa, para graduan serta orang ramai dijemput hadir untuk memberi sokongan kepada pelajar-pelajar IIUM serta memeriahkan pesta konvo ini yang akan berlangsung selama seminggu di Convest Hill, UIAM Kampus Gombak.