الأخبار

الأخبار

Isu Pelarian Rohingya Perlu Kerjasama Semua Pihak

Isu Pelarian Rohingya Perlu Kerjasama Semua Pihak

التاريخ : 07 January 2019

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

GOMBAK, (Malaysiaaktif) – Makmal Kemanusiaan 2.0 yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak merupakan usaha berterusan bagi menyelesaikan isu-isu utama mengenai pelarian Rohingya di Malaysia.

Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, isu pelarian etnik Rohingya di Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak untuk selesaikan isu utama secara berperingkat.

“Kita perlu lebih praktikal dan tumpu terhadap masalah yang membelenggu etnik Rohingya, malah semua pihak memainkan peranan kerana mereka adalah suara yang akan disampaikan kepada kerajaan.

“Saya harap makmal ini dapat menemui penyelesaian bagi jangka pendek, sederhana atau jangka panjang untuk diketengahkan kepada pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui semasa persidangan Makmal Kemanusiaan 2.0 di UIAM, hari ini.

Persidangan anjuran Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) bersama Asean Rohingya Centre (ARC) dan UIAM merupakan kali kedua disertai lebih 200 peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkeyakinan Malaysia Baharu yang diterajui Pakatan Harapan (PH) lebih terbuka membantu pelarian Rohingya di Malaysia.

“Tidak dinafikan kerajaan membuka ruang untuk perbincangan, malah kita bantu kongsi input bagi memperkasakan etnik Rohingya merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, perlindungan dan ratifikasi.

“Bukan mudah untuk melaksanakannya (ratifikasi) kerana kerajaan ada permasalahan dan kekangan yang kita tidak nampak. Sudah sampai masanya beberapa isu penting disuarakan untuk perhatian kerajaan,” ujar beliau.

Hadir sama, Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak serta wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) di Malaysia, Rachel Demas.